
Melihat kepada perbahasan para fuqaha dapat diringkaskan hukum pengguguran janin dalam Islam terbahagi kepada dua keadaan:
Keadaan pertama:pengguguran janin yang berlaku selepas ditiupkan roh padanya(selepas 120 hari atau 4 bulan).Para fuqaha telah bersepakat bahawa pada ketika ini pengguguran adalah
haram(rujuk
Fatawa Ibnu Taimiyah jilid 34,m/s160;Hasyiah Ad-Dusuqi jilid 2,m/s
267;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 1,m/s 191;al-Muhalla
jilid 11,m/s 29)
- Ia dianggap melakukan jenayah terhadap makhluk yang hidup,sempurna dan bernyawa.
- Denda yang dikenakan sekiranya janin itu hidup ketika
digugurkan kemudian mati adalah bayaran diat.Bagi janin yang mati
ketika gugur dikenakan bayaran ghurrah.
- Haram pengguguran selepas ditiupkan roh dikuatkan dengan hadis yang diriwayat oleh Ibnu Mas’ud secara marfu’,mafhumnya:
“
Bahawa setiap seorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya di
dalam perut ibunya selama 40 hari,kemudian jadilah ia segumpal darah
seperti yang demikian,kemudian jadilah ia seketul daging seperti yang
demikian,kemudian diutuskan malaikat lalu ditiupkan padanya roh“(Rujuk Fathul Bari jilid 11,m/s 477)
Keadaan kedua:pengguguran janin yang berlaku sebelum ditiupkan roh
Pendapat pertama:Boleh melakukan pengguguran janin dalam tempoh 40 hari dari tempoh kehamilan.
- Kemudian mereka berselisih pada menyatakan keharusan
menggugurkan tersebut.Setengah daripada mereka membolehkannya
secara keseluruhan seperti sebilangan fuqaha Hanafi,al-Laqhmi daripada
Maliki,Abu Ishak al-Marwazi daripada Syafei dan sebahagian
Hambali(rujuk Hasyiah Ibnu Abidin jilid 2,m/s 380;Hasyiah ar-Rahuni
jilid 3,m/s 264;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid
6,m/s 191)Bagi mereka dalam tempoh yang disebutkan tadi kandungan
masih lagi tidak bernyawa.
- Setengah daripada mereka pula meletakkan beberapa syarat dan
garis panduan bagi membolehkan kandungan digugurkan.(rujuk Hasyiah
Ibnu Abidin jilid 2,m/s 380;Hasyiah ar-Rahuni jilid 3,m/s
264;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 6,m/s 191).
a. Sekiranya kandungan tersebut dikekalkan akan memberi kemudharatan pada isteri
b. Terputusnya susu dengan sebab hamil lagi(bagi pasangan yang
mempunyai anak kecil yang masih menyusu) dan suami tidak berkemampuan untuk mengupah wanita lain
untuk menyusukan anaknya.
c. Mesti redha di kedua-dua belah pihak dari hasil perbincangan suami isteri.
d. Mestilah mendapat kepastian dari pakar perubatan yang
dipercayai(thiqah) bahawa pengguguran yang akan dilakukan tidak memberi sebarang kemudharatan kepada isteri.
e. Mesti bertujuan untuk menumpukan perhatian penuh kepada tarbiah
dan pendidikan anak,kerana sebilangan isteri tidak dapat melakasanakan tanggungjawabnya apabila
mengandung.
f. Sesetengah fuqaha memberi kelonggaran kepada kandungan yang
terhasil dari zina(tajuk ini akan dibincangkan secara terperinci di bawah).
Pendapat kedua:Makruh yang membawa kepada kepada
haram menggugurkan janin,pendapat ini dipelopori oleh sebilangan fuqaha
Hanafi,Syafie dan Hambali(rujuk Jamie al-Fusulin jilid 2,m/s 354;Fatawa
Khaniyah jilid 3,m/s 410;Hasyiah Ibnu Abidin jilid 3,m/s 495;Nihayatul
Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 1,m/s 281)
Pendapat ketiga:Haram pengguguran secara keseluruhan
- Mereka berhujah tidak boleh mengeluarkan mani(yang sudah
berlaku persenyawaan) yang telah terbentuk di dalam rahim walaupun
sebelum tempoh 40 hari,kerana ia akan hidup.Maka hukum baginya
adalah seperti yang hidup.
- Imam Ghazali mengungkapkan haram melakukan pengguguran dalam
tempoh ini dengan katanya:Ia adalah jenayah ke atas benda wujud
yang akan terjadi,peringkat pertama kewujudannya ialah apabila mani
diletak di dalam rahim dan berlaku persenyewaan serta bersedia untuk
menerima kehidupannya.Menghalang perkara tersebut beerti
jenayah,kerana ia menyekat ia dari terbentuk dengan sempurna.(rujuk
Ihya’ Ulumuddin jilid 2,m/s 51)
- Kata Ibnu Jauzi:Perkara tersebut adalah haram tetapi kurang
dosanya berbanding dengan pengguguran yang dilakukan selepas
ditiupkan padanya roh(rujuk Ahkam an-Nisa’ m/s 374)
Pendapat yang dipegang oleh kebanyakan fuqaha adalah pendapat yang
mengatakan haram menggugurkan janin(jika tidak ada sebarang sebab yang
membolehkannya).Bagaimana pula pengguguran yang dilakukan ke atas janin
anak luar nikah?Berikut adalah perbahasan para ulama mengenainya:
Hukum Pengguguran Janin Anak Luar Nikah
- Pendapat ulama terdahulu:
a. Mazhab Maliki
- Penguguran adalah diharamkan jika dilakukan selepas ditiupkan roh ke atas janin tersebut.
- Berdasarkan pendapat al-Imam Khurasyi dan lain-lain ulama Malikiyah
mengharamkan secara mutlak pengguguran janin walaupun sebelum 40 hari
yang pertama di dalam rahim.Inilah pendapat muktamad di dalam mazhab
Maliki.
b. Mazhab Syafei
- Para ulama bermazhab Syafei bersepakat mengatakan bahawa pengguguran adalah diharamkan jika dilakukan selepas ditiupkan roh ke atas janin tersebut.
- Manakala jika sebelum ditiupkan roh sebahagian ulama Syafieyah
membenarkan pengguguran dilakukan.Ini berdasarkan pendapat Imam
Qarafi.Imam al-Ghazali juga membahaskan tentang perkara ini tetapi tidak
menjelaskan sama ada ianya haram atau tidak.
- Imam al-Ramli dan Syeikh Sulaiman Jamal mengatakan harus dilakukan
pengguguran jika sebelum ditiupkan roh.Manakala Imam Subki meletakkan
bahawa harus digugurkan jika janin yang berada di dalam rahim tersebut
belum melebihi 80 hari.
2.
Pendapat Ulama Semasa:
Menurut Dr. Misbah Mutawalli Sayyid Hammad(pensyarah Fiqh
Perbandingan Universiti Al-Azhar):Tidak terdapat seorang pun di kalangan
ulama semasa yang bersetuju bahawa janin anak zina dibenarkan untuk
dilakukan pengguguran.Antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah
seperti Dr.Abdul Fattah Idris dan Dr. Muhammad Said Ramadhan
al-Buti.Bahkan mereka menegaskan bahawa sepatutnya para ulama melarang
perkara seperti ini berlaku.
Di antara doktor perubatan yang menyokong pendapat ini ialah Dr. Hassan Huthut dan Dr. Muhammad Ali al-Bar.
Antara dalil yang digunakan oleh para ulama yang mengharamkan perkara ini ialah:
i. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Najm ayat 38,maksudnya:
“
Bahawasanya seseorang yang berdosa tidak akan menanggung dosa orang lain“
Ayat ini menerangkan bahawa seseorang itu tidak akan menanggung dosa
perbuatan orang lain.Menurut Dr.Muhammad Said Ramadhan al-Buti:”
Kita
mengetahui dengan jelas bahawa tujuan sebenar pengguguran ini dilakukan
oleh penzina adalah semata-mata untuk mengelakkan dirinya dicemuh
masyarakat terhadap dosa yang dilakukan olehnya”
Maka ini jelas menunjukkan bahawa perkara ini diharamkan.Seolah-olah
janin yang tidak bersalah tersebut turut terlibat sama di dalam dosa
yang dilakukan oleh penzina terbabit.
ii. Berdasarkan hadis wanita yang berzina pada zaman baginda nabi
s.a.w.Hadis tersebut diriwayatkan di dalam Sahih Muslim pada bab hukuman
zina.Kesimpulan yang dapat kita ambil daripada hadis ini ialah jika
benar pengguguran janin anak zina dibenarkan oleh syarak,maka tentulah
banginda nabi s.a.w. akan mengarahkan wanita tersebut untuk menggugurkan
kandungannya.Hadis tersebut juga menjelaskan bahawa wajib menjaga
kandungan tersebut sehingga dilahirkan dan disusukan selama 2 tahun.
Kesimpulan:
Kesimpulan yang dapat kita lakukan berdasarkan dua pendapat di atas ialah
haram melakukan
pengguguran terhadap anak luar nikah.Dalil-dalil yang digunakan oleh
para ulama semasa lebih jelas dan kuat berkenaan pengharaman perkara
ini.Maka para pengamal perubatan perlu mengambil perhatian tentang
perkara ini.
Sumber:
Kertas Kerja Seminar Perubatan Kali Ke-2 mengenai Kelahiran dan
Kematian anjuran Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir
pada 11-12 Februari 2009,pembentang hasil kertas kerja di atas ialah
Ustaz Nazrul bin Nasir(penuntut Fakulti Usuluddin Universiti
Al-Azhar,tahun 3) dan Ustaz Faizuddin bin Hassan(penuntut Master Syariah
Universiti Terbuka Amerika Kaherah,tahun 2)