photo c258945f-03cd-4052-a8fd-ba8da1b302ae_zpse8704f24.jpg

January 22, 2012

Hukum Pengguguran(Abortion)[SIRI 1] Terhadap Janin Anak Luar Nikah


Melihat kepada perbahasan para fuqaha dapat diringkaskan hukum pengguguran janin dalam Islam terbahagi kepada dua keadaan:
Keadaan pertama:pengguguran janin yang berlaku selepas ditiupkan roh padanya(selepas 120 hari atau 4 bulan).Para fuqaha telah bersepakat bahawa pada ketika ini pengguguran adalah haram(rujuk Fatawa Ibnu Taimiyah jilid 34,m/s160;Hasyiah Ad-Dusuqi jilid 2,m/s 267;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 1,m/s 191;al-Muhalla jilid 11,m/s 29)
  1. Ia dianggap melakukan jenayah terhadap makhluk yang hidup,sempurna dan bernyawa.
  2. Denda yang dikenakan sekiranya janin itu hidup ketika digugurkan kemudian mati adalah bayaran diat.Bagi janin yang mati ketika gugur dikenakan bayaran ghurrah.
  3. Haram pengguguran selepas ditiupkan roh dikuatkan dengan hadis yang diriwayat oleh Ibnu Mas’ud secara marfu’,mafhumnya:
Bahawa setiap seorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari,kemudian jadilah ia segumpal darah seperti yang demikian,kemudian jadilah ia seketul daging seperti yang demikian,kemudian diutuskan malaikat lalu ditiupkan padanya roh“(Rujuk Fathul Bari jilid 11,m/s 477)

Keadaan kedua:pengguguran janin yang berlaku sebelum ditiupkan roh
Pendapat pertama:Boleh melakukan pengguguran janin dalam tempoh 40 hari dari tempoh kehamilan.
  1. Kemudian mereka berselisih pada menyatakan keharusan menggugurkan tersebut.Setengah daripada mereka membolehkannya secara keseluruhan seperti sebilangan fuqaha Hanafi,al-Laqhmi daripada Maliki,Abu Ishak al-Marwazi daripada Syafei dan sebahagian Hambali(rujuk Hasyiah Ibnu Abidin jilid 2,m/s 380;Hasyiah ar-Rahuni jilid 3,m/s 264;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 6,m/s 191)Bagi mereka dalam tempoh yang disebutkan tadi kandungan masih lagi tidak bernyawa.
  2. Setengah daripada mereka pula meletakkan beberapa syarat dan garis panduan bagi membolehkan kandungan digugurkan.(rujuk Hasyiah Ibnu Abidin jilid 2,m/s 380;Hasyiah ar-Rahuni jilid 3,m/s 264;Nihayatul Muhtaj jilid  8,m/s 416;al-Furu’ jilid 6,m/s 191).
a. Sekiranya kandungan tersebut dikekalkan akan memberi kemudharatan  pada isteri
b. Terputusnya susu dengan sebab hamil lagi(bagi pasangan yang mempunyai anak kecil yang masih                   menyusu) dan suami tidak berkemampuan untuk mengupah wanita lain untuk menyusukan anaknya.
c.  Mesti redha di kedua-dua belah pihak dari hasil perbincangan suami isteri.
d.  Mestilah mendapat kepastian dari pakar perubatan yang dipercayai(thiqah) bahawa pengguguran yang         akan dilakukan tidak memberi sebarang kemudharatan kepada isteri.
e.  Mesti bertujuan untuk menumpukan perhatian penuh kepada tarbiah dan pendidikan anak,kerana                 sebilangan isteri tidak dapat melakasanakan tanggungjawabnya apabila mengandung.
f.  Sesetengah fuqaha memberi kelonggaran kepada kandungan yang terhasil  dari zina(tajuk ini akan                 dibincangkan secara terperinci di bawah).

Pendapat kedua:Makruh yang membawa kepada kepada haram menggugurkan janin,pendapat ini dipelopori oleh sebilangan fuqaha Hanafi,Syafie dan Hambali(rujuk Jamie al-Fusulin jilid 2,m/s 354;Fatawa Khaniyah jilid 3,m/s 410;Hasyiah Ibnu Abidin jilid 3,m/s 495;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 1,m/s 281)

Pendapat ketiga:Haram pengguguran secara keseluruhan
  1. Mereka berhujah tidak boleh mengeluarkan mani(yang sudah berlaku persenyawaan) yang telah terbentuk di dalam rahim walaupun sebelum tempoh 40 hari,kerana ia akan hidup.Maka hukum baginya adalah seperti yang hidup.
  2. Imam Ghazali mengungkapkan haram melakukan pengguguran dalam tempoh ini dengan katanya:Ia adalah jenayah ke atas benda wujud yang akan terjadi,peringkat pertama kewujudannya ialah apabila mani diletak di dalam rahim dan berlaku persenyewaan serta bersedia untuk menerima kehidupannya.Menghalang perkara tersebut beerti jenayah,kerana ia menyekat ia dari terbentuk dengan sempurna.(rujuk Ihya’ Ulumuddin jilid 2,m/s 51)
  3. Kata Ibnu Jauzi:Perkara tersebut adalah haram tetapi kurang dosanya berbanding dengan pengguguran yang dilakukan selepas ditiupkan padanya roh(rujuk Ahkam an-Nisa’ m/s 374)
Pendapat yang dipegang oleh kebanyakan fuqaha adalah pendapat yang mengatakan haram menggugurkan janin(jika tidak ada sebarang sebab yang membolehkannya).Bagaimana pula pengguguran yang dilakukan ke atas janin anak luar nikah?Berikut adalah perbahasan para ulama mengenainya:

Hukum Pengguguran Janin Anak Luar Nikah
  1. Pendapat ulama terdahulu:
a. Mazhab Maliki
  • Penguguran adalah diharamkan jika dilakukan selepas ditiupkan roh ke atas janin tersebut.
  • Berdasarkan pendapat al-Imam Khurasyi dan lain-lain ulama Malikiyah mengharamkan secara mutlak pengguguran janin walaupun sebelum 40 hari yang pertama di dalam rahim.Inilah pendapat muktamad di dalam mazhab Maliki.
b. Mazhab Syafei
  • Para ulama bermazhab Syafei bersepakat mengatakan bahawa pengguguran adalah diharamkan jika dilakukan selepas ditiupkan roh ke atas janin tersebut.
  • Manakala jika sebelum ditiupkan roh sebahagian ulama Syafieyah membenarkan pengguguran dilakukan.Ini berdasarkan pendapat Imam Qarafi.Imam al-Ghazali juga membahaskan tentang perkara ini tetapi tidak menjelaskan sama ada ianya haram atau tidak.
  • Imam al-Ramli dan Syeikh Sulaiman Jamal mengatakan harus dilakukan pengguguran jika sebelum ditiupkan roh.Manakala Imam Subki meletakkan bahawa harus digugurkan jika janin yang berada di dalam rahim tersebut belum melebihi 80 hari.
2.  Pendapat Ulama Semasa:
Menurut Dr. Misbah Mutawalli Sayyid Hammad(pensyarah Fiqh Perbandingan Universiti Al-Azhar):Tidak terdapat seorang pun di kalangan ulama semasa yang bersetuju bahawa janin anak zina dibenarkan untuk dilakukan pengguguran.Antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah seperti Dr.Abdul Fattah Idris dan Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti.Bahkan mereka menegaskan bahawa sepatutnya para ulama melarang perkara seperti ini berlaku.
Di antara doktor perubatan yang menyokong pendapat ini ialah Dr. Hassan Huthut dan Dr. Muhammad Ali al-Bar.
Antara dalil yang digunakan oleh para ulama yang mengharamkan perkara ini ialah:
i. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Najm ayat 38,maksudnya:
Bahawasanya seseorang yang berdosa tidak akan menanggung dosa orang lain
Ayat ini menerangkan bahawa seseorang itu tidak akan menanggung dosa perbuatan orang lain.Menurut Dr.Muhammad Said Ramadhan al-Buti:”Kita mengetahui dengan jelas bahawa tujuan sebenar pengguguran ini dilakukan oleh penzina adalah semata-mata untuk mengelakkan dirinya dicemuh masyarakat terhadap dosa yang dilakukan olehnya”
Maka ini jelas menunjukkan bahawa perkara ini diharamkan.Seolah-olah janin yang tidak bersalah tersebut turut terlibat sama di dalam dosa yang dilakukan oleh penzina terbabit.
ii. Berdasarkan hadis wanita yang berzina pada zaman baginda nabi s.a.w.Hadis tersebut diriwayatkan di dalam Sahih Muslim pada bab hukuman zina.Kesimpulan yang dapat kita ambil daripada hadis ini ialah jika benar pengguguran janin anak zina dibenarkan oleh syarak,maka tentulah banginda nabi s.a.w. akan mengarahkan wanita tersebut untuk menggugurkan kandungannya.Hadis tersebut juga menjelaskan bahawa wajib menjaga kandungan tersebut sehingga dilahirkan dan disusukan selama 2 tahun.

Kesimpulan:
Kesimpulan yang dapat kita lakukan berdasarkan dua pendapat di atas ialah haram melakukan pengguguran terhadap anak luar nikah.Dalil-dalil yang digunakan oleh para ulama semasa lebih jelas dan kuat berkenaan pengharaman perkara ini.Maka para pengamal perubatan perlu mengambil perhatian tentang perkara ini.

Sumber:
Kertas Kerja Seminar Perubatan Kali Ke-2 mengenai Kelahiran dan  Kematian anjuran Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir pada 11-12 Februari 2009,pembentang hasil kertas kerja di atas ialah Ustaz Nazrul bin Nasir(penuntut Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar,tahun 3) dan Ustaz Faizuddin bin Hassan(penuntut Master Syariah Universiti Terbuka Amerika Kaherah,tahun 2)

No comments:

Post a Comment